(Gambar Ilustrasi:
(,Imam Husein bersama putranya,Ali Al Akbar,dalam imajiner)
Artikel :
Mengenang Peristiwa Karbala
Mengingati 10 Muharam
MUHARAM mempunyai tradisi panjang sebagai bulan suci dalam Islam.
Misalnya, pada 16 Muharam, kiblat dialihkan dari Jerusalem
(Baitulmaqdis) ke Mekah. Daripada kalangan penganut Syiah, bulan Muharam
mempunyai makna khusus sebagai bulan ketika Imam Hussain ibnu Ali, cucu
Nabi Muhammad s.a.w. syahid.
Pada 81H/680M, di tempat yang disebut Karbala di pinggir Sungai
Eufrat, pasukan Yazid ibnu Muawiyah di bawah komando ibnu Ziyad
mengepung Imam Hussain dan rombongannya. Seluruh laki-laki dalam
keluarga Hussain kecuali puteranya yang masih kecil, Zainal Abidin,
terbunuh. Hussain dipenggal dan tubuhnya dipotong-potong. Kemudian
kepala Hussain dibawa kepada Yazid bin Muawiyah.
Ini merupakan fitnah dan tragedi besar yang menyayat hati pernah
berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa ini telah melebarkan pintu
perpecahan sesama umat Islam. Walaupun penganut fahaman Sunni dan Syiah
sama-sama mengakui tragedi pengorbanan Hussain, bagi Syiah, peristiwa
ini mempunyai erti khusus sebagai saat kritis dalam sejarah Islam ketika
rejim rasmi Islam membunuh satu-satunya cucu Nabi Muhammad yang masih
hidup.
Gambar Ilustrasi:
(Ketika Abul fadhil Abbas,mencapai pinggiran sungai Eufrat,dan
bermaksud mengambilkan air buat keluarganya yang menunggu di
tenda,dengan kehausan yang mencekik leher)
Dalam memperingati kesyahidan Hussain ini, sepuluh hari pertama bulan
Muharam merupakan saat kesedihan yang amat mendalam bagi penganut
ajaran Syiah. Bagi memperingatinya, penganut Syiah mengadakan majlis
ratapan, perarakan umum, dan kegiatan-kegiatan lain. Kemuncak peringatan
ini ialah bermula pada tanggal 10 Muharam di mana Hussain terbunuh yang
dikenali pula sebagai hari Asyura.
Tujuan kegiatan ini adalah untuk mengingatkan peristiwa Karbala
secara eksistensi dan dramatis bagi merangsang mengalir keluarnya air
mata kesedihan para penganutnya. Air mata ini sebagai tanda kesedihan
dan ratapan atas kesyahidan Imam Hussain.
Di seluruh dunia Islam, terdapat berbagai-bagai acara yang
dihubungkan dengan kedukaan penganut Syiah pada 10 Muharam ini. Di Iran,
pada malam kesepuluh bulan Muharam atau lebih dikenali malam Asyura,
hampir seluruh masyarakat kota Teheran, turun ke jalan untuk mengadakan
perarakan mengingati tragedi Karbala, Mereka membaca syair-syair tentang
Imam Hussain dengan diiringi paluan gendang sebagai tanda kesedihan.
Gambar ilustrasi:
(Suasana sholat terakhir ditengah pertempuran Karbala)
Pada 1 hingga 10 Muharam hampir semua penduduk di kota Teheran
berpakaian hitam tanda dukacita. Walaupun mereka masih melakukan
aktiviti kerja. Bukan hanya pakaian mereka sahaja, tetapi kota-kota
besar di Iran kebanyakannya dihiasi dengan sepanduk-sepanduk berwarna
hitam dengan tulisan "Hussain bithatu minni waman idha'aha laqod
adhani", "al-Hassan wal al-Hussain syababun Ahlil jannah," "Anal Hussain
As misbahulda wa safinatunnajah." (Hussain adalah darah dagingku barang
siapa yang menyakiti bererti menyakitiku, Hassan dan Hussain adalah
penghulu para pemuda syurga, Hussain adalah pelita penerang dan perahu
penyelamat.)
gambar Ilustrasi,:
(Ketika Imam Husein memeluk jasad putranya,yang syahid dipangkuanya)
Sepuluh
Muhharam dalam bahasa Arab disebut 'Asyura'. Tradisi memperingati hari
Asyura ini juga dilakukan di beberapa daerah di Nusantara seperti di
Sumatera Barat, Bingkulu, Sulawesi Selatan, dan Jawa. Ada sedikit
persamaan antara masyarakat Jawa di Indonesia dengan negara kita di mana
sempena memperingati hari Asyura masyarakat Islam mempersiapkan makanan
khusus yang disebut sebagai bubur suro.
Tradisi ini wujud di Indonesia walaupun dikatakan masuk dan
berkembangnya ajaran Syiah di negara tersebut daripada perspektif
sejarah memang masih kontroversi dan menimbulkan polemik.
Kini sejauh manakah dikatakan tragedi Karbala yang terjadi pada zaman
Hussain telah berulang kembali dalam sejarah kehidupan manusia? Dari
segi realiti, ia berlaku dalam waktu dan bentuk yang berbeza.
Kesamaannya ia adalah satu tragedi yang telah merosak dan
menghancurkan sendi-sendi keadilan dan kemanusiaan antara sesama
manusia. Ia telah membunuh sifat-sifat rohani manusia, yang seharusnya
dapat membawa manusia kepada jalan kebenaran.
Hari ini kita dapat menyaksikan peristiwa Karbala dalam bentuk yang
lain. Sejarah mencatat bagaimana berlaku peristiwa pembunuhan
beramai-ramai ke atas umat Islam seperti yang berlaku di Bosnia, Ambon,
Indonesia, Palestin, Iraq dan selatan Thailand, selatan Filipina,
Kashmir, India dan Chechnya. Dalam hal ini umat Islam seolah-olah sudah
kehilangan maruah dan harga diri. Mereka terpaksa lari dari tanah air
mereka sendiri kerana indentiti keislaman mereka. Walhal bumi Allah ini
adalah sama. Sesiapa pun berhak tinggal di mana sahaja. Allah tidak
memandang wilayah di mana pun untuk tempat tinggal seseorang Muslim.
Kekuasaan dan keserakahan nafsu jahat telah menghantui dan menjadi
orientasi golongan yang melakukan pembunuhan tersebut. Betapa tidak
bagaimana seorang ayah dibunuh di depan keluarganya, seorang anak kecil
ditembak sewenang-wenangnya. Malah umat Islam yang sedang bersujud
kepada Ilahi juga dihujani dengan peluru daripada umat Islam sendiri.
Apa pun alasannya, atas nama adat atau pembelaan, jelas ini merupakan
tragedi kemanusiaan yang paling menyayat hati.
Dengan cara ini manusia telah turun darjatnya melebihi binatang.
Kerana binatang membunuh, hanyalah untuk memenuhi kelangsungan hidupnya,
manusia membunuh untuk kepentingan syahwat kekuasaan dan keserakahan.
Lalu apa yang sedang terjadi dengan manusia sekarang ini, ketika manusia
dengan begitu mudahnya melimpahkan darah sesamanya? Apakah mereka sudah
kehilangan nilai kemanusiaan? Mereka dengan begitu mudah menindas
sesama manusia. Imam Hussain telah mengorbankan dirinya untuk suatu
nilai yang agung, yakni nilai kebenaran yang diredai Allah. Ketika
manusia berbunuh-bunuhan dengan begitu mudahnya apakah ini sebagai
petanda manusia sekarang ini kembali menjadi primitif?
Sesungguhnya Islam hadir sebagai suatu agama pembebasan. Agama yang
membebaskan manusia daripada segala bentuk penindasan sesama manusia.
Suatu agama yang menghargai nilai-nilai kemanusiaan. Dalam hal ini tidak
ada manusia yang lebih tinggi antara manusia lain kerana identiti
kesukuan dan peradaban ekonomi. Islam hadir memberi persamaan hak-hak
kemanusiaan. Tidak ada suku yang lebih mulia, tidak ada orang yang lebih
mulia kerana etnik dan kekayaan. Kemajmukan bukanlah untuk saling
bersengketa tetapi untuk saling mengenali antara satu sama lain.
Peristiwa Karbala adalah perjuangan untuk menegakkan cita-cita ajaran
Islam bersama kemanusiaan sejagat. Imam Hussain telah mengingatkan kita
bahawa menegakkan yang hak itu bukanlah dengan menunggu kehadiran Imam
Mahdi. Tetapi kita sebagai kaum Muslim, diingatkan untuk merebut hak
kebenaran itu. Kebenaran tidak akan mengalahkan kebatilan, jika
kebenaran itu tidak diperjuangkan.
Dari sekarang umat Islam harus memperjuangkan kebenaran dan hak-hak kaum Muslim di seluruh muka bumi Allah ini.




Tidak ada komentar:
Posting Komentar